Bila baca surat khabar Kosmo bertarikh 27 Julai 2009 tentang kematian Pengarah Filem dan Iklan Yasmin Ahmad, UF sudah berasa sedikit mushkil, apabila Kosmo melaporkan yang Yasmin Ahmad dulu namanya ialah Zulkifli Ahmad. Turut dimuatkan dalam muka surat 2, gambar Yasmin Ahmad ketika zaman muda “lelaki”nya tahun 70an.
Wallahu A’lam akan kesahihan berita ini namun, telah banyak “cakap-cakap” mengenainya di blog-blog. UF tidak berniat untuk berbicara berkenaan Yasmin atau Zulkifli Ahmad itu kerana orangnya sudah meninggal dunia. Moga Allah S.W.T mengampuninya dan kita semua.
Namun jika benarlah seperti apa yang dikata, maka ia sebenarnya mempunyai implikasi yang cukup besar kerana ia tidak dapat lari dari hukum hakam syarak. Pertamanya hukum menukar jantina, kedua hukum perkahwinannya dengan seorang lelaki lain, ketiga auratnya dengan wanita ajnabi, keempat pengurusan jenazahnya dan banyak lagi hukum yang berkaitan.
Post ini bukan khusus kepada Yasmin “Zulkifli” Ahmad, urusannya biarlah Allah yang menentukannya kerana kita tidak tahu cerita sebenar, samada beliau asalnya lelaki atau khunsa mushkil. UF mengambil kesempatan menyeru kepada semua yang masih hidup terutama mereka yang ingin menukar jantina tidak kira lelaki atau wanita, supaya mengambil berat dan memahami hukum yang telah ditentukan oleh Syarak. Ini bukan persoalan suka-suka dan ikut hati, kerana hukum tetap hukum dan perlu diikuti dan dihormati walaupun berlawanan dengan kehendak nafsu.
Tidak dinafikan bahawa terdapat segolongan lelaki yang diciptakan Allah dengan sifat lembut seperti wanita. Namun ia bukan tiket untuk menukar jantinanya kepada wanita dengan membuang zakar dan membentuk kemaluannya sebagai faraj wanita. Hukumnya adalah haram, diulangi sekali lagi, hukumnya haram. Tidakkah kita berasa gerun dengan perkataan HARAM? Sesuatu perbuatan haram akan mengundang dosa dan balasannya diakhirat nanti ialah api neraka yang membakar. Hukuman di akhirat adalah berbentuk selama-lamanya dan tiada penghujungnya, jadi bayangkanlah jika kita disiksa dalam api neraka yang panas membakar tanpa henti. Jika dibakar di dunia 1 minit pun, tidak tertahan siksaannya, apatah lagi selama-lamanya.
Kita sebagai pendakwah tidaklah ingin mengherdik golongan ini, kerana mereka adalah orang “sakit” yang perlukan bantuan. Mereka perlu dibimbing dan diberi motivasi supaya ingat kepada Allah dan agama Islam (bagi mereka yang beragama Islam). Kepada mereka yang sudah terlajak menukar jantinanya, insaflah dan bertaubatlah. Ingatlah masih ada kesempatan untuk bertaubat sebelum Allah menjemput pulang bertemu dengan-Nya.
Ya Allah! berikanlah kami panduan dan kekuatan untuk menyelamatkan golongan ini. Andai kami gagal, janganlah Engkau siksa kamiĀ atas kecuaian kami. Amin!

