PIBG Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang akan menganjurkan kem motivasi kepada pelajar-pelajar tahun enam pada 11 Jun nanti. PIBG hanya menganjurkan dan akan dikendalikan oleh satu syarikat motivasi luar. Lokasi cadangan ialah Kolej Za’ba, UKM selama dua hari satu malam. Tetapi masalah timbul apabila berlakunya kematian seorang pelajar UKM di Kolej tersebut seperti yang dipaparkan dalam media. Punca kematiannya dikatakan ada kaitan dengan gangguan “lembaga” di kolej kediaman tersebut.
Ini telah menimbulkan ketakutan kepada pelajar-pelajar yang akan menyertai kem motivasi nanti, kerana mereka sendiri yang menunjukkan keratan akhbar kepada guru berkenaan kematian pelajar yang diganggu lembaga di kolej kediaman tersebut. Syarikat motivasi yang dilantik telah menghubungi pihak UKM dan dimaklumkan, tiada gangguan lembaga seperti yang dihebohkan. Wallahu A’lam, tapi pelajar-pelajar dah takut nak meyertai kem motivasi yang akan dijalankan nanti.
Inilah bahananya kalau masyarakat terutamanya kanak-kanak didedahkan dengan cerita hantu secara keterlaluan dan dalam bentuk negatif. Maksud UF, anak-anak kita dimomokkan bahawa hantu-hantu seperti yang dipaparkan dalam drama di tv mempunyai kuasa dan boleh mengganggu manusia sehingga boleh membunuh mereka. Sedangkan kita tidak atau kurang dedahkan kepada anak-anak sebenarnya kita umat Islam tidak perlu takut kepada hantu atau jin sebab kita ada pendinding dan pelindung melalui doa atau ayat-ayat al-Quran.
Apa-apapun PIBG SK Kota Warisan terpaksa mencari lokasi lain untuk kem motivasi, kalau tidak mungkin pelajar-pelajar tidak mahu pergi.







