Boleh disimpulkan bahawa kepentingan ilmu Usul Fiqh ialah untuk memungkinkan seseorang mujtahid atau faqih mengistinbat dan mengetahui hukum Syarak daripada dalil. Proses mengistinbat hukum daripada dalil ialah dengan meneliti dalil yang datang daripada Allah S.W.T atau Rasulullah S.A.W, kemudian mujtahid akan menggunakan kaedah-kaedah Usul (al-Qawa’id al-Usuliyyah) sebagai alat untuk mengetahui hukum yang ada pada dalil tersebut.
Kepentingan ilmu Usul Fiqh juga dapat dilihat dalam perkara-perkara berikut:
1. Untuk mengetahui hukum bagi perkara-perkara baru berlaku yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah atau sahabat ataupun tidak ada dalil khusus mengenai hukum bagi perkara tersebut. Dalam perkara ini mujtahid akan berijtihad berdasarkan prinsip-prinsip umum Syarak. Dengan Usul Fiqh, ia menunjukkan bahawa Syariat Islam mampu menyahut kehendak peredaran zaman kerana ia mempunyai jawapan (hukum) bagi perkara-perkara semasa.
2. Sebagai perbandingan antara mazhab-mazhab fiqh yang ada. Dengan Usul Fiqh, sama ada ulama atau orang awam, mereka akan dapat mengetahui di sebalik tabir perselisihan pendapat di kalangan ulama mazhab. Dalam erti kata lain, mereka dapat mengetahui pendapat mazhab dan dalil serta kaedah yang digunakan oleh mazhab tertentu. Bagi ulama terkemudian, mereka boleh mentarjih mana-mana pendapat mazhab dalam isu-isu tertentu yang lebih membawa kemaslahatan kepada umat Islam akhir zaman.
3. Sebagai mekanisme pertahanan Syariat Islam yang suci. Ini kerana daripada dahulu sampailah sekarang banyak pihak yang cuba menyerang Islam terutama tohmahan terhadap 2 sumber utama Syariat iaitu al-Quran dan Sunnah. Dengan Usul Fiqh, umat Islam boleh mempertahankan dan menjawab tohmahan yang dilemparkan oleh mereka yang benci kepada Islam. Ini kerana dalam Usul Fiqh kita boleh mengetahui dalil-dalil naqli dan aqli tentang kehujahan al-Quran dan Sunnah serta sumber-sumber yang lain.







