Pembentangan pada hari tersebut dimulakan oleh En. Ann Wan Seng yang menyentuh mengenai adat orang cina dalam pengurusan mayat orang cina. Beliau membahaskan 3 aspek penting iaitu:
1. Adat kematian orang cina.
2. Upacara Pengkebumian orang cina.
3. Pantang larang kematian orang cina.
Persoalan yang timbul dan ada kaitan dengan pembincangan bertitik tolak dari tindakan YB Dato’ Sri Nizar Jamaluddin yang memegang lilin dan memakai baju warna hitam dalam satu majlis yang dikatakan sempena memperingati kematian Teoh Beng Hock. Menurut En. Ann Wan Seng, penggunaan lilin bukanlah upacara agama orang cina, malah ia lebih kepada adat dan lilin bukanlah unsur terpenting dalam urusan kematian orang cina berbanding colok.
Dari segi pakaian pula, selalunya anak si mati akan memakai baju warna hitam, cucu akan memakai baju biru, cicit akan memakai baju hijau dan menantu akan memakai baju putih. Namun ia bukanlah wajib kerana ia lebih kepada adat sahaja kerana terkadang ada suku kaum cina yang memakai serba putih.
Pembentangan kedua pula oleh Us. Zaharuddin Mohamad (Pegawai Syariah ISRA) yang menyentuh mengenai hukum Vigil (menyalakan lilin). Menurut beliau, tujuan nyalaan lilin dapat dibahagaikan kepada 4 tujuan:
1. Pemujaan.
2. Berkabung.
3. Kepercayaan kepada kuasa tertentu.
4. Simbolik.
Hukum bagi tindakan pertama, ke dua dan ke tiga adalah haram kerana ia memupunyai unsur mensyirikkan Allah Taala, manakala hukum bagi tindakan ke empat dikategorikan sebagai syubuhat yang seeloknya ditinggalkan oleh umat Islam kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat. Menurut beliau lagi bukan semua adat diterima atau ditolak seratus peratus oleh Syariat, adat yang bertepatan dengan prinsip Syarak maka ia diterima. Adat yang menyalahi prinsip Syarak, maka ia ditolak.
Beliau menambah bahawa beliau pernah bersembang dengan Prof. Wu (Prof. bagi pengajian bahasa Melayu di sebuah universiti China) yang berpendapat bahawa lilin adalah upacara agama dalam kematian orang cina. Namun ini dijawab oleh En. Ann Wan Seng bahawa adat orang cina di Malaysia berbeza dengan adat orang cina di China. YB Nizar juga sebenarnya ketika memegang lilin dan memakai baju hitam itu bukannya berada dalam majlis upacara kematian tetapi berada dalam sebuah majlis lain iaitu menuntut pembubaran DUN Perak. Jadi tidak timbul isu beliau terlibat dalam upacara keagamaan kematian orang cina.
Bengkel ini sedikit sebanyak membuka minda untuk memahami adat orang cina dalam menguruskan sesuatu kematian dan En. Ann Wan Seng sendiri telah menulis mengenai beberapa adat orang cina yang merangkumi pelbagai aspek dalam sebuah bukunya.







