UF nak komen (walaupun agak terlambat) tentang isu baiah yang dikatakan bahawa semua ahli Parlimen dan Adun PAS membuat taklik, jika melompat parti atau berhenti dari PAS, isteri akan tertalak 3. Pimpinan PAS Pusat menafikan wujudnya baiah sebegini, manakala PAS Selangor menurut salah seorang pimpinannya mengatakan berlakunya baiah sebegitu.
Benar atau tidak berlakunya baiah sedemikian bukan isunya. Isunya ialah jika seseorang itu membuat taklik jika dia
meninggalkan partinya dan melompat ke parti lain, isterinya akan tertalak (tidak kisah talak berapa pun), maka taklik itu boleh/akan diterima pakai. Dengan erti kata lain, jika dia melompat parti maka isterinya akan tertalak mengikut jumlah talak yang ditakliknya itu.
Pemakaian taklik memang diamalkan ketika akad perkahwinan di Malaysia, sebab itulah setiap pengantin lelaki selepas selesai akad nikah akan diminta oleh kadi supaya membaca taklik jika meninggalkan isteri atau tidak memberi nafkah dalam tempoh tertentu dan jika isterinya mengadu ke mahkamah, maka terjatuh talak 1. Selepas itu suami itu akan menandatangani borang taklik yang dilafazkannya tadi.
Patut atau tidak, boleh atau tidak baiah sebegitu bukan tugas mufti untuk menentukannya. Tugas mufti atau faqih ialah untuk menjelaskan hukum kepada masyarakat dan hukum taklik baiah sebegitu (jika berlaku) adalah sah dan terpakai. Sama seperti isu talak SMS dahulu, bukan patut atau tidak yang menjadi isunya, tetapi jika berlaku talak menerusi SMS dan terbukti yang memang suami yang menghantarnya atas kerelaannya sendiri, maka hukumnya adalah tertalaklah isterinya (namun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengatakan yang talak SMS adalah berbentuk kinayah yang perlukan niat dan bukan lafaz sarih (nyata).
Jadi taklik baiah itu sah dari segi diyanatan (agama/hukum fiqhnya) namun dari segi qada’an (keputusan mahkamah), ia sebenarnya boleh dihalang dari dibenarkan. Contohnya pada zaman Rasulullah S.A.W, seorang suami yang mentalakkan isterinya dengan lafaz 3 talak sekaligus hanya diputuskan oleh baginda sebagai 1 talak sahaja berdasarkan beberapa hadis dan begitu juga keputusan Abu Bakar R.A. Namun pada zaman Umar bin al-Khattab, beliau memutuskan yang lafaz talak 3 sekaligus dihukumkan talak 3, kerana orang ramai pada zamannya memain-mainkan lafaz talak dengan sesuka hati.
Berdasarkan contoh ini, taklik baiah itu boleh dihalang dari dibenarkan tetapi kuasa untuk menghalangnya ialah hanyalah kuasa mahkamah sahaja.




