FAEDAH BELAJAR ILMU USUL FIQH
Persoalan yang sering ditimbulkan, untuk apa Usul Fiqh dipelajari dan apa kegunaannya? Satu kiasan mudah, untuk
menangkap ikan sudah tentulah kita memerlukan alat untuk menangkap ikan (joran, jala dan sebagainya). Ikan adalah
target pemancing dan joran adalah sebagai alat untuk mendapatkannya, maka begitulah juga halnya Fiqh dan Usul Fiqh. Fiqh (hukum) adalah target seorang mujtahid/faqih dan Usul Fiqh adalah “alat” untuk mencapainya.
Satu lagi kiasan ialah, untuk memakan nasi maka seseorang itu perlu melalui satu proses yang dipanggil memasak nasi
terlebih dahulu. Kebiasannya beras diambil dan dibasuh berulang kali, kemudian ditanak di atas api atau dengan periuk elektrik dengan sukatan air yang tertentu. Setelah siap proses ini maka akan terhasillah makanan yang dipanggil nasi. Beras tidak akan menjadi nasi jika ia tidak diproses seperti yang disebutkan. Begitulah juga untuk mengetahui hukum Fiqh, maka kita perlu melalui satu proses yang dinamakan Istinbat al-Ahkam (pembinaan hukum).
Seseorang mujtahid tidak akan dapat mengetahui sesuatu hukum Fiqh kecualilah dia “memproses” dalil-dalil yang datang daripada Allah Taala dan Rasulullah S.A.W. Selepas dia memproses dalil tersebutlah, baru dia akan mendapat natijahnya iaitu hukum Fiqh. Untuk memproses dalil, kita memerlukan kaedah-kaedah tertentu yang terdapat dalam ilmu Usul Fqh. Sebab itulah ilmu Fiqh dan Usul Fiqh mempunyai kaitan yang amat rapat antara satu sama lain kerana Fiqh adalah natijah dan produk kepada Usul Fiqh.







