Semalam usulifaqih dapat satu mesej daripada seorang kawan bertanyakan satu soalan. Dia tanya kalau kena wabak selesema babi, kena samak tak? Walaupun soalan ni lebih kepada melawak, tapi bagus juga dijawab untuk membuka minda. Sebelum jawab soalan ni, ingat tak dalam satu babak filem Seniman Bujang Lapok lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ketika si Ramli sedang mengendap bilik Cik Salmah lalu dia ditegur oleh seorang pakcik tua.
Untuk cover line si Ramli buat-buat macam menghalau serangga kecil dan kononnya ia hinggap di pipi pakcik tadi. Si Ramli pun menampar serangga di pipi pakcik tu, lalu pakcik tu tanya apa yang ditamparnya. Si Ramli jawab, kutu babi dan pakcik tu kata, Allah! batal air sembahyang aku sambil dia berlalu pergi (mungkin nak pergi ambil wuduk balik kot). Sebenarnya wuduk pakcik tu tak batal pun biarpun memang betul kalau kutu babi hinggap di pipinya. Sama juga kalau sentuh binatang yang memakai nama babi contohnya siput babi dan lain-lain. Malah kalau pakcik tu sentuh babi betul pun tak batal wuduk kerana memegang najis tidak termasuk dalam perkara membatalkan wuduk.
Jadi berbalik kepada soalan asal kita iaitu adakah kena samak kalau dilanda demam selesema babi. Jawapannya tidak perlu, kerana bukannya kita menyentuh najis mughallazah iaitu babi atau anjing. Yang kena samak bila kita sentuh fizikal dengan babi atau anjing seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi S.A.W. Satu masalah lain, jika kita nampak seekor nyamuk gigit babi kemudian nyamuk yang sama gigit kita pula seperti dalam wabak JE tidak lama dahulu, apa hukumnya? Bagi usulifaqih, tidak perlu samak juga kerana ia termasuk dalam umum balwa yang sukar kita elakkan. Wallahu A’lam.







