Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam akhbar kelmarin berkata gaji pensyarah IPTA tidak akan dinaikkan. Menurut beliau lagi jumlah bayaran gaji kepada ribuan tenaga pengajar IPTA mengikut gred
masing-masing sudah mencukupi dan munasabah. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Maritim Korea (KMU) dan Maritime Training Education Sdn. Bhd. (MTE) di atas Kapal Latihan KMU, Hanbada di Terminal Star Cruise. Bagaimanapun Mohamed Khaled menjelaskan, pihaknya akan tetap membela nasib golongan pensyarah dengan menyediakan pelbagai insentif kepada mereka yang berjaya menghasilkan pelbagai kajian yang menarik.
ULASAN
Siapa yang tidak mahu gajinya dinaikkan, sudah tentulah semua orang suka jika gaji kerjanya dinaikkan termasuklah
usulifaqih sendiri. Kita beranggapan jika gaji naik, pasti banyak masalah boleh selesai, nak bayar hutang itu ini, atau boleh beli barang itu ini dan sebagainya. Gaji kakitangan akedmik universiti ni adalah pertengahan, nak kata sikit sangat, tidak juga, nak kata banyak pun tidak juga. Tapi bagi usulifaqih yang memulakan tugas akademik dari peringkat bawah lagi sebagai seorang tutor sehinggalah sekarang ini menjawat jawatan sebagai pensyarah kanan ada cerita mengenai gaji.
Masa mula jadi tutor tahun 2001, gaji memang tak cukup untuk tampung hidup, apatah lagi dah berkeluarga. usulifaqih terpaksa mengajar kelas Iqra’ dan Quran uuntuk tampung sikit sebanyak. Dok fikir kalau jadi pensyarah mungkin akan cukup kot. Bila dah naik jadi pensyarah tahun 2002 pula, gaji jadi sekali ganda dari tutor. Ingatkan cukup untuk hidup tapi masih lagi rasa tak cukup, sampai nak buat tabungan pun payah. Fikir lagi, kalau naik pangkat jadi pensyarah kanan, mungkin dah tak merungutla kot sebab gaji pensyarah kanan hampir sekali ganda dari pensyarah biasa. Rupa-rupanya masih lagi rasa tak cukup-cukup, ye lah style hidup pun berubah bila ada duit banyak.
Inilah tabiat manusia, tidak pernah puas dengan apa yang ada sekarang dan sentiasa nakkan lebih lagi. Kalau gaji ratus ribu sebulan pun akan merungut lagi tak cukup-cukup. usulifaqih bukan anti naik gaji, sebab tadi pun dah ngaku
yang usulifaqih pun suka kalau gaji dinaikkan. Tapi kita sebagai orang Islam mesti sedar, wang yang banyak bukan
segala-galanya. Adakah selama ini kita ada duit banyak, kita teringatkan orang susah? Adakah kita ingat mengeluarkan zakat? Kita akan kata, nak tampung hidup sendiri pun sukar, takkan nak sedekah kat orang lain pulak? Ingatlah itu hanya alasan untuk tidak berzakat atau bersedekah membantu mereka yang memerlukan. Bersyukurlah kita masih bergaji tatkala ramai yang dibuang kerja kerana kegawatan ekonomi.







